Selasa, 7 Mac 2017

Rundingan Parti Pembangkang PRU-14, Kerusi Pas Kini Dijadikan ‘Barang Lelong’ – Shukor


KUALA LUMPUR, 7 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Datuk Abdul Shukor Idrus berkata Pas perlu ada pendirian tersendiri setelah kerusi yang ditandinginya sebelum ini seperti ‘dilelong’ oleh rakan-rakan sekutunya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.


Menurut beliau pendirian tersebut perlu diketengahkan secepat mungkin setelah rakan-rakan pembangkang yang lain seperti PKR, Dap, Parti Amanah Negara (PAN) dilihat cukup ligat berunding antara satu dengan yang lain tanpa kelibat parti berkenaan.

“Saya percaya PKR ada kuota mereka, begitu juga dengan Dap, malah PAN juga ada kawasan yang telah diperuntukkan selain kawasan untuk yang ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Cuma yang menjadi persoalan kawasan manakah yang akan diperuntukkan untuk Pas.

“Dalam konteks Selangor pula, bagaimana dengan kawasan yang ditandingi Pas. Apakah ianya benar-benar telah pun selesai dan inilah yang menjadi persoalan hari ini. Apakah Pas sekadar berperanan untuk tubuhkan kerajaan negeri semata-mata?

“Dan peranan Pas seolah-olah mengecil menjelang pilihan raya umum akan datang dan ini adalah satu tamparan hebat kepada Pas dan ianya amat memalukan sekali. Pas perlu ada pendirian yang jelas dalam soal ini,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Dilaporkan Pakatan Harapan menjalankan pusingan pertama mesyuarat agihan kerusi tanpa kehadiran wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kerana parti itu masih belum mengenal pasti kerusi yang mahu ditandinginya.

“Oleh kerana homework ataupun kajian kerusi mana yang (mahu) ditandingi itu belum lagi selesai dan mereka perlukan lagi masa dan kami membuat ketetapan untuk teruskan dengan parti-parti yang telah bersedia.

“Kami akan mengadakan mesyuarat pada pusingan seterusnya,” kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Shukor seterusnya menegaskan senario berkenaan menunjukkan mereka membelakangkan Pas dan sewajarnya parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu keluar segera daripada kerajaan negeri Selangor hari ini.

“Nanti dikata hidung tak mancung pipi tersorong-sorong…Pas perlu lihat dan nilai apa yang berlaku hari ini setelah rundingan yang dicanang tidak melibatkan parti berkenaan. Seolah-olah ianya tidak dihargai dan mungkin itu adalah jalan dan penyelesaian terbaik sekaligus memperlihatkan Pas parti bermaruah,” ujarnya.

-MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan