Peguamnya, Datuk Kamarudin Ahmad berkata, saman pemula ini difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang bertujuan untuk mendapatkan pengisytiharan dari Mahkamah Tinggi bahawa ucapannya dalam perbahasan Bajet Selangor 2017 mendapat perlindungan peruntukan undang-undang.
SHAH ALAM, 6 Mac — Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (depan dua, kiri) dan peguam Kamarudin Ahmad (depan tiga, kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bagi memfailkan saman pemula berkenaan usul yang merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor.
Beliau memfailkan saman pemula itu melalui Tetuan Kamarudin & Partners terhadap Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Speaker DUN Selangor dan DUN Selangor.
–fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA
“Pertama, bahawa ucapan anak guam saya dalam sidang DUN Selangor mendapat perlindungan di bawah Artikel 77 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dan Artikel 10, Perlembagaan Persekutuan dan kedua, berdasarkan terjemahan sebenar Peraturan Tetap DUN Selangor, 36(6) ucapan tersebut tidak melanggar atau bertentangan dengan peraturan 36(6).
“Ketiga, ucapan tersebut tidak melanggar mana-mana juga peraturan tetap yang ada di DUN Selangor dan ucapan tersebut adalah untuk kepentingan awam,” ujarnya kepada media di lobi mahkamah sebentar tadi.
Tambahnya, inilah isu-isu yang dipohon agar satu penentuan dari pihak Mahkamah Tinggi supaya dapat ditentukan sama ada Mat Nadzari sudah melanggar atau tidak mana-mana peraturan tetap DUN Selangor.
“Implikasi terhadap kes itu sekiranya dibenarkan oleh mahkamah, mana-mana ADUN bebas untuk bercakap mengenai parti politik dalam sidang DUN.
“Pada masa sama, tindakan ini menghentikan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan daripada membawa laporan siasatan mereka terhadap anak guam saya dalam Sidang DUN akan datang hingga kes ini selesai.
“Kalau dibawa sekalipun, DUN tidak boleh bincangkan laporan itu kerana ia akan menjadi subjudis berikutan ia masih dalam pertimbangan mahkamah.
“Kita tidak mencabar prosiding DUN. Kita hanya mencabar interpretasi semua Peraturan-Peraturan Tetap 36 sama ada anak guam saya ada membuat pelanggaran,” katanya.
Ini susulan kenyataan Mat Nadzari dalam DUN pada 1 November lalu bahawa terdapat niat dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali untuk tidak mengiktiraf sistem raja berperlembagaan.
- MediaUMNO


Tiada ulasan:
Catat Ulasan