Projek Bandar Malaysia Ikut Jadual
17 Februari 2011
Utusan Malaysia
PUTRAJAYA 17 Feb. - Pelaksanaan Projek Bandar Malaysia kini berjalan mengikut jadual dengan termeterainya perjanjian pembangunan di lapan tapak pemindahan yang akan menempatkan pangkalan tentera dan polis yang sedang beroperasi di Pangkalan Udara Sungai Besi, dekat sini.
1Malaysia Development Bhd. (IMDB) dalam kenyataannya di sini berkata, pihaknya akan membangunkan pangkalan baharu bagi Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Rejimen ke-31 Artileri DiRaja (31 RAD) dan Pangkalan Gerakan Udara Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Lima tapak pemindahan telah dikenal pasti bagi operasi TUDM di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, iaitu di Subang, Selangor; Kuantan, Pahang; Sendayan, Negeri Sembilan; Butterworth, Pulau Pinang dan Gong Kedak, Terengganu; dua bagi PDRM masing-masing di Subang dan Ipoh, Perak dan satu untuk 31 RAD di Kajang, Selangor.
Perjanjian bagi pembangunan pangkalan di Butterworth dan Gong Kedak untuk TUDM telah pun ditandatangani pada bulan Disember 2011 manakala bagi tapak di Ipoh untuk PDRM dimeterai pada bulan lalu.
Perjanjian-perjanjian untuk lokasi selebihnya ditandatangani hari ini antara Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wahab Mohd Yasin dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Halmi.
Majlis itu disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Datuk Dr. Rahamat Bivi Yusoff.
Proses pemindahan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, sebaik selesai kerja-kerja pembinaan di pangkalan-pangkalan baharu dalam tempoh lima tahun lagi.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) 1MDB Real Estate Sdn. Bhd., Datuk Azmar Talib berkata, perjanjian pada hari ini menandakan permulaan kerja-kerja pembinaan di tapak-tapak baharu.
"Seiring dengan keutamaan kami untuk mengurangkan gangguan terhadap operasi-operasi keselamatan negara, pihak yang terlibat hanya akan berpindah selepas tapak-tapak baharu sedia untuk diduduki," kata Azmar dalam kenyataan yang sama.
Pada bulan Jun 2011, 1MDB yang juga pemaju induk bagi Bandar Malaysia telah memeterai Perjanjian Jual Beli bagi pemindahan 198 hektar tanah Lapangan Terbang Sungai Besi antara 1MDB dan Suruhanjaya Tanah Persekutuan; Perjanjian Jual Beli bagi 750 ekar tanah di Sendayan di antara 1MDB dan Menteri Besar Diperbadankan, Negeri Sembilan sebagai tapak ganti pangkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia dan perjanjian induk penempatan semula bagi membangunkan lapan tapak ganti untuk Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.
Bandar Malaysia bertujuan membudayakan konsep keselesaan kehidupan sebagai ciri utama Greater Kuala Lumpur.
Ia merupakan satu pembangunan bersepadu yang menekankan konsep keseimbangan antara hidup dan kerjaya.
Ini adalah kali ketiga tapak ini digunakan bagi projek bersifat game-changing. Pada 1956, ia berfungsi sebagai lapangan terbang antarabangsa pertama negara, membuka peluang bagi industri penerbangan, pengangkutan, pelancongan dan hospitaliti.
Utusan