Khamis, 24 November 2016

RUU 355: USAH GUSAR DENGAN URUSAN MASYARAKAT ISLAM.

Oleh Dr Kamarul Zaman Yusoff, 
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN).

SEJAK Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, diberi kebenaran mencadangkan Rang Undang-Undang Persendirian bagi meningkatkan had maksima hukuman yang boleh dikenakan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) 26 Mei lalu, UMNO dan PAS dihadapkan dengan berbagai tekanan politik dari kawan dan lawan mereka.


Di pihak UMNO, parti-parti komponen bukan Islam BN dan parti-parti komponen BN dari Sabah dan Sarawak tegas menyuarakan penentangan ke atas cadangan meningkatkan kuasa menghukum ini, walaupun berkali-kali dijelaskan bahawa pindaan ini adalah selari dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan terhad kepada penganut Islam tanpa membabitkan bukan Islam.

Di pihak PAS pula, bentuk serangan yang dikenakan oleh parti pembangkang lain ialah kononnya PAS termasuk jerangkap samar UMNO untuk memecahkan pakatan pembangkang. Dakwaan PAS ditipu oleh UMNO makin kencang bertiup bila RUU 355 tidak diberi peluang dikemukakan bila sidang Dewan Rakyat bermula 17 Oktober lalu sebelum bajet 2017 dibentangkan 21 Oktober.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiba-tiba menjemput semua Ahli Parlimen Islam menghadiri Majlis Perjumpaan dan Taklimat Khas Berkenaan RUU 355 kelmarin bersama-sama Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Di dalam majlis itu, ruang diberi kepada semua pihak menyatakan pandangan mereka mengenai RUU 355. Hasilnya, keputusan telah dibuat untuk menubuhkan satu jawatankuasa terpilih yang turut dianggotai Ahli Parlimen bukan Islam untuk memperincikan, memperhalusi dan memurnikan semua aspek yang menimbulkan kekhuatiran seterusnya mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri.

Turut ditaklimatkan adalah persetujuan supaya had maksima hukuman dipinda dari cadangan asal, iaitu “hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah Seksyen 2 (Akta 355) selain daripada hukuman mati”, menjadi lebih spesifik, iaitu penjara selama 30 tahun, denda sebanyak RM100,000 dan sebat sebanyak 100 kali.

Sesungguhnya, langkah yang diambil oleh UMNO ini adalah satu tindakan berani dan terpuji. Ia melambangkan kematangan berfikir dan bertindak pemimpin tertinggi UMNO. Ia menjadi tanda kesungguhan UMNO memperjuangkan salah satu asas dan tujuan utamanya, iaitu menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama negara.

Masa sama, UMNO juga menyedari kepentingan mengambil kira sensitiviti parti-parti komponen bukan Islam BN yang menjadi rakan kongsinya memerintah negara selama ini selain semua pemegang taruh lain. Sebab itulah langkah menubuhkan satu jawatankuasa terpilih adalah langkah yang sangat perlu dialu-alukan bagi membolehkan kepentingan semua pihak kekal terpelihara.

PAS patut bersyukur dengan ruang diberikan kepadanya mengemukakan kembali RUU 355 di Dewan Rakyat kerana ia adalah satu langkah ke hadapan dalam perjuangan panjangnya. Kesediaan PAS memperincikan had maksima hukuman juga menjadi bukti kesediaan PAS berkompromi, sekaligus mematikan hujah kononnya RUU 355 memberikan cek kosong kepada negeri-negeri.

Sepatutnya pemimpin bukan Islam, apatah lagi yang berada dalam kerajaan, tidak mencampuri urusan RUU 355 ini. Ketika Akta 355 diperkenalkan di Dewan Rakyat pada 3 Mac 1965, tiada Ahli Parlimen bukan Islam membangkangnya walaupun PAP waktu itu mempunyai wakil seperti Lee Kuan Yew, Dr Goh Keng Swee, S Rajaratnam, Dr Toh Chin Chye dan Wee Toon Boon.
Begitu juga ketika pindaan Akta 355 dibahaskan di Dewan Rakyat pada 10, 11 dan 12 Oktober 1984 bagi meningkatkan had maksima hukuman, Ahli-Ahli Parlimen dari DAP seperti Karpal Singh (Jelutong), Dr Chen Man Hin (Seremban), Lim Kit Siang (Kota Melaka), Dr Tan Seng Giaw (Kepong) dan Lee Lam Thye (Kuala Lumpur Bandar) langsung tidak berani menyentuhnya.

Keadaan sama berlaku bila Akta 355 dibawa ke Dewan Rakyat untuk diperluaskan pemakaiannya ke Sabah dan Sarawak pada 24 Mac 1989. Tiada Ahli Parlimen bukan Islam yang menentangnya walaupun DAP waktu itu mempunyai wakil seperti Karpal Singh (Jelutong), Lim Kit Siang (Tanjong), Dr Tan Seng Giaw (Kepong), P Patto (Ipoh) dan Lim Guan Eng (Kota Melaka).
Tidak pernah berbangkit sebelum ini dakwaan bahawa peningkatan had maksima hukuman atau perluasan pemakaian Akta 355 bertentangan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan atau bercanggah dengan Perjanjian Penubuhan Malaysia. Semua Ahli Parlimen termasuk dari Sabah dan Sarawak sebelum ini tidak mencampurinya kerana mereka faham ini urusan orang Islam.

Terbuktilah sekarang bahawa pemimpin komponen bukan Islam BN mahupun pemimpin pembangkang sebelum ini jauh lebih bijaksana berbanding sesetengah pemimpin sekarang yang sama ada sengaja tidak mahu menghormati kandungan Perlembagaan Persekutuan demi untuk menjaga kepentingan politik sempit mereka atau mungkin benar-benar tidak memahaminya.

Begitu juga dengan pemimpin dari Sabah dan Sarawak yang sepatutnya sedar bahawa bukan sahaja semua Ahli Parlimen dari dua negeri ini tidak pernah membangkang pengenalan, peningkatan had maksima hukuman atau perluasan pemakaian Akta 355, malah Ahli Parlimen yang membentangkan Akta 355 pada 3 Mac 1965 ialah Tun Abdul Rahman Ya'kub dari Sarawak.

Apa pun, sepertimana pernah disebut oleh Kadir Dikoh dalam BH Ahad, RUU 355 ini mungkin boleh dijadikan titik kebersamaan untuk PAS dan UMNO bersalaman. Selaras dengan gema kerjasama menjelang Perhimpunan Agung UMNO, diharapkan RUU 355 akan memberi impak positif. Prosesnya masih panjang, tetapi sekurang-kurangnya langkahan pertama telah dibuat.

Malaysia4All/Mung!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan